CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 9, 2009

Setiap kata-kata itu adalah DOA untuk diri kita sendiri. Janganlah Berkata Buruk dan Maafkanlah, Sekalipun Kamu Dianiaya.




Allah berfirman : "Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pema'af lagi Maha Kuasa.
" (An-Nisa' 4:148-149)



Tafsiran Ulama' Salaf berkenaan ayat ini:

Ibnu Abi Talhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas tentang ayat ini, ia berkata: "Allah tidak menyukai seseorang mendo'kan keburukan bagi orang lain, kecuali bila ia dizalimi. Kerana Allah swt telah memberikan keringanan pada nya untuk mendoakan keburukan bagi orang lain yang yang menzaliminya. Dan bila bersabar, itu lebih baik baginya"
(Ath-Thabari )

Abu Dawud meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: "Dua orang yang saling mencela, maka dosa nya ditanggung oleh orang yang memulainya, selama orang yang dizalimi tidak melampaui batas"
(Abu Dawud (no 3894), Shahiih Muslim (no 2587))

Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini: "Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pema'af lagi Maha Kuasa" ia berkata: "Ertinya, apabila kalian wahai sekalian manusia, menampakkan kebaikan atau menyembunyikan nya, atau ,memaafkan orang yang berbuat jahat pada kalian. Maka semua itu akan mendekatkan diri kalian kepada Allah swt, dan Dia akan menyediakan pahala bagi kalian di sisi-Nya.


Percakapan lambang keimanan

Ajaran Islam amat mementingkan keakraban hubungan
persaudaraan individu dalam masyarakat. Satu amalan
penting untuk maksud itu ialah melalui tutur kata yang
baik dan menyenangkan pihak lain.


Justeru, Islam amat menegah penganutnya menggunakan
perkataan buruk dan keji. Banyak ayat al-Quran dan
hadis menjelaskan mengenai larangan menggunakan
perkataan buruk. Rasulullah memberi amaran keras
terhadap sesiapa yang mengucapkan perkataan buruk akan
menerima balasan amat pedih.


Tegahan mengucapkan perkataan buruk penting dipatuhi
bagi mengelak kesan buruknya. Didapati banyak
perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat berpunca
daripada kata mengata tidak baik.


Hal ini terjadi memandangkan sudah satu perkara lumrah
perasaan seseorang mudah tercabar dan
terbakar jika dia dilemparkan dengan
perkataan-perkataan yang tidak baik, lebih-lebih lagi
melibatkan maruh diri dan keturunan.


Justeru, setiap Muslim perlu sentiasa berhati-hati
ketika bercakap. Lidah memang tidak bertulang, tetapi
bukan alasan untuk mudah mengeluarkan kata-kata yang
tidak baik. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak
kata badan binasa.


Perhatikan kepada firman Allah bermaksud:
Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci.(Surah
al-Humazah, ayat pertama).


Maksud ayat itu memberi amaran betapa besar keburukan
akibat mencaci dan perbuatan seumpamanya. Allah Maha
Pembalas dan Maha Adil menghukum setiap apa yang
dilakukan oleh setiap orang.


Orang mencaci merasa dirinya hebat. Dia mengeluarkan
kata-kata bermaksud menghina dan memberi aib kepada
orang lain. Pada masa yang sama dia berusaha untuk
mengangkat status dengan cara menjatuhkan orang lain.


Hakikatnya, orang yang mengeluarkan kata-kata yang
tidak baik sebenarnya mencerminkan diri sendiri yang
tidak baik. Sesungguhnya, hanya orang yang berperibadi
buruk mengeluarkan perkataan yang buruk.


Sebenarnya, individu yang selalu mengeluarkan
kata-kata buruk adalah tanda dirinya tidak mendapat
petunjuk daripada Allah. Hidup mereka sesat dan cuba
pula mempengaruhi orang lain agar turut seperti
mereka. Mereka tidak harus dibuat rakan, atau usah
diperdulikan apa yang diperkatakan olehnya.


Bahkan Rasulullah menegaskan individu yang suka
menyebut perkataan buruk bukan dari kalangan orang
yang beriman. Golongan itu bersifat seperti orang
munafik yang mengaku beriman, tetapi melakukan
perbuatan yang ditegah.


Sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud:
Sesungguhnya kekejian dan berbuat kekejian,
tidak sedikitpun daripada Islam. Dan sesungguhnya
manusia yang terbaik Islamnya ialah mereka yang baik
akhlaknya.?


Islam tidak sekali-kali membenarkan seseorang Islam
membuka aib muslim lain walaupun berkaitan perkara
yang benar. Hal ini bertujuan untuk mengelak keadaan
bertambah buruk.


Firman Allah bermaksud: Allah tidak mencintai
orang yang suka menceritakan keburukan orang lain
kecuali bagi orang yang teraniaya.)Surah an-Nisa,
ayat 148).


Mungkin individu yang melakukan kesalahan itu secara
tidak sengaja, atau mungkin juga dia telah menyesal
melakukan perbuatan itu. Setiap antara kita tidak
sunyi daripada melakukan kesalahan sama ada
disengajakan atau tidak.


Sekiranya perkara keaiban yang benar tidak boleh
disebarkan, inikan pula perkara yang sengaja
direka-reka. Menyebarkan cerita yang tidak benar
mengenai seseorang untuk mendatangkan keaiban
dipanggil membuat fitnah.


Sekarang ini amalan menyebar fitnah dan kutukan semakin canggih
dilakukan dengan alat teknologi moden. Sesuatu fitnah dan kutukan cacian
dapat disebarkan dengan mudah tanpa penyebar fitnah dan caci
itu perlu bersemuka dengan orang ramai. Malah,
identiti penyebar fitnah juga dapat dirahsiakan.
Amalan malang sekali ada di kalangan kita yang
menyalahgunakan kecanggihan teknologi.


Biasanya orang melakukan kesalahan tidak bertahan
lama. Seperti kata pepatah, sepandai-pandai tupai
melampah, akhirnya jatuh ke tanah juga. Satu lagi
pepatah, pelanduk selalu lupakan jerat. Ramai
penjenayah siber kini berjaya disekat perbuatan
mereka, dan dihadapkan ke mahkamah.


Membuat fitnah amat besar dosanya. Allah meletakkan
dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada
membunuh. Firman Allah bermaksud: Fitnah itu
besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.)Surah
al-Baqarah, ayat 217).


Sesungguhnya perkataan-perkataan buruk yang keluar
dari mulut didalangi oleh syaitan. Mereka yang
bercakap itu mewakili?syaitan mengucapkan
perkataan tidak baik kepada pihak lain bagi tujuan
memecah belahkan hubungan baik sesama manusia.


Kejayaan syaitan merosakkan hidup anak cucu Adam
banyak bergantung kepada pertolongan manusia
sendiri yang ingkar kepada perintah dan amaran Allah.
Sesiapa yang di dalam dirinya mempunyai sifat-sifat
syaitan, maka bersaksilah bahawa mereka akan menjadi
teman syaitan di neraka jahanam.


Sesungguhnya mencaci, mengumpat, membuat fitnah dan
mencarut akan memutuskan hubungan sesama Islam. Islam
amat mementingkan berkaitan hubungan baik dan menegah
sama sekali perbuatan menyebabkan perpecahan.



Sebaiknya kita berdoa kebaikan terhadap orang yang meggunakan perkataan buruk,
kerana doa itu akan kembali kepada dirinya dan diri kita sendiri.






0 comments: